Wednesday, November 18, 2009

Keratan akhbar Berita Harian 19hb November 2009

4 pelajar tingkatan satu hilang di Gunung Lambak

KLUANG: Empat pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil dilaporkan hilang di Gunung Lambak, sejak tengah hari semalam. Operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan terbabit yang dipercayai sesat ketika mendaki, dijalankan sejam jam 9 malam tadi, membabitkan anggota polis, tentera dan Rela.

Pendakian pelajar hilang bukan aktiviti sekolah

KLUANG: Empat pelajar yang masih hilang di Gunung Lambak di sini, bukan mengikuti program anjuran sekolah, sebaliknya merancang sendiri aktiviti pendakian itu bagi mengisi masa cuti sekolah. Berita Harian difahamkan, pada mulanya seramai sepuluh pelajar merancang mendaki gunung itu, tetapi hanya mereka berempat datang ke tempat dijanjikan pagi semalam. Pelajar yang hilang ialah Mior Shahidan Mior Azman, Normayzurah Nursalim, Nurfazlin Mohd Zain dan Nurul Afiqah Zulkifli. Semua mereka adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil.

Empat pelajar sesat ditemui selamat

KLUANG: Empat pelajar tingkatan satu yang hilang ditemui jam 1.45 petang tadi selepas sesat lebih 24 jam di hutan Gunung Lambak di sini. Mereka yang dalam keadaan lemah terus dikejarkan ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan lanjut.

Camana nak komen ek?!

Monday, November 02, 2009

Berita Harian 2hb November 2009

Mayat tiga pelajar Utar ditemui

KAMPAR: Tiga penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) - dua lelaki dan seorang wanita - ditemui mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berkelah di Air Terjun Batu Berangkai di sini.

Mayat dua penuntut lelaki itu masing-masing ditemui pada jam 10.20 malam dan 12 tengah malam tadi, manakala mayat penuntut wanita ditemui pada jam 11.10 malam.

Mayat pertama ditemui tersangkut di celah pokok kira-kira 300 meter dari tempat kejadian dan dua lagi mayat dijumpai tidak jauh dari tempat mayat pertama ditemui.

Tiga penuntut Utar itu, Yew Ghim Chnieh, 20, James Wan Kai Khor, 20, dan penuntut wanita berkenaan, Yew Shy Gin, 21, dilapor hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di air terjun itu pada kira-kira jam 5.30 petang.

"Seorang lagi rakan mereka, penuntut lelaki, terselamat," kata Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh.

Beliau berkata, kedua-dua penuntut lelaki itu berasal dari Pulau Pinang manakala penuntut wanita dari Sungai Petani, Kedah.

Abdul Aziz berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebaik polis menerima maklumat mengenai kejadian itu. Usaha mencari dan menyelamat yang turut dibantu penduduk kampung itu agak sukar berikutan arus sungai yang deras serta keadaan gelap.

Seorang saksi, Syed Sarudin Syed Shamsuddin, 41, berkata kejadian berlaku sejurus selepas hujan lebat di kawasan perkelahan itu pada kira-kira 5 petang.

"Saya bersama tiga anak saya naik berteduh di sebuah pondok di tebing sungai apabila hujan turun manakala mereka (penuntut) bersama beberapa yang lain terus mandi," katanya.

Beliau berkata, semasa hujan, air mulai naik perlahan-lahan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi kuat air menghempas batu.

"Empat pelajar itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana arus deras terus menghanyutkan mereka di celah-celah batu...arus menolak mereka mengikut aliran air yang menjunam ke bawah bukit," katanya.

Seorang penduduk kampung, Razali Abdullah, 32, berkata beliau yang berada berhampiran tempat kejadian tidak sempat menghulurkan bantuan kerana penuntut itu hanyut dengan laju.

"Saya mendengar jeritan minta tolong dan sebaik berlari ke tebing, saya nampak tiga orang terkapai-kapai dan tengelam timbul di dalam air yang ketika itu mengalir laju," katanya.

Menurut Razali, penuntut berkenaan serta beberapa kumpulan lain yang berkelah ke situ pada kira-kira jam 3 petang telah dinasihati oleh penduduk supaya balik kerana air terjun itu berbahaya pada musim hujan.

"Air yang mengalir dari bukit sering turun dengan banyak secara mendadak setiap kali selepas hujan lebat," katanya.

Kejadian hari ini berlaku seminggu selepas tiga murid perempuan lemas di Sungai Kampar di sini.

Dalam kejadian Isnin lalu, 19 murid lain terselamat apabila jambatan gantung di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang runtuh.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang melawat tempat kejadian berkata penuntut yang terselamat itu berusia 22 tahun dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Beliau adalah penuntut tahun kedua jurusan perakaunan dan berasal dari Kuala Lumpur," katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambary Abdul Kadir, turut melawat tempat kejadian tengah malam tadi. - Bernama

Apa lagi yang boleh kita ulas apabila perkara seperti ini berlaku?!